
SHAH ALAM, 7 Ogos 2025 – Pelajar IIC menang pertandingan AI antarabangsa yang dianjurkan sempena MSU Entrepreneurship Week 8.0, sekali gus mengharumkan nama institusi pendidikan yang diuruskan oleh IIUM Higher Education Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada IIUM Holdings Sdn Bhd.
Kejayaan ini dicapai menerusi penyertaan dalam International AI-Innovation Business Competition 2025, yang berlangsung secara dalam talian dan terbuka kepada institusi pengajian tinggi dari dalam serta luar negara, termasuk MSU Shah Alam dan Universiti Negeri Malang dari Indonesia. Pengumuman rasmi dibuat pada 7 Ogos 2025 semasa MSU Entrepreneurship Summit.
Pelajar dari IIC mengemukakan idea perniagaan inovatif berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menepati tema “Smart Startups: Navigating Business in the AI Era”. Kemenangan dalam kategori utama Business Pitching Competition membuktikan keupayaan pelajar IIC menyaingi peserta dari universiti lain pada peringkat antarabangsa.
Selain itu, pelajar IIC turut mendominasi Browse & Shop Competition 2025 dengan memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga secara keseluruhan. Hadiah wang tunai berjumlah RM400 dimenangi dalam kategori pitching, manakala Browse & Shop menyaksikan hadiah berjumlah RM240 secara keseluruhan dibawa pulang oleh wakil IIC.
Pihak pengurusan IIUM Holdings Sdn Bhd menzahirkan penghargaan atas pencapaian luar biasa ini dan menyifatkan kejayaan pelajar IIC menang pertandingan AI ini sebagai bukti komitmen institusi dalam melahirkan graduan berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran industri digital global.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional (FBMP) MSU Malaysia dan terbuka kepada penyertaan pelajar dari institusi tempatan serta antarabangsa. Ia bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk membentangkan idea perniagaan berdasarkan teknologi AI dalam suasana kompetitif dan profesional.
Sebagai sebuah kolej yang memberi penekanan kepada pendidikan praktikal, inovasi dan nilai Islam progresif, IIC akan terus memperkasakan pelajarnya dengan peluang penyertaan aktif di peringkat global.
Sumber – Kolej Islam Antarabangsa
Anda mungkin berminat:
- Summer Camp 2025 Perkasa Jati Diri Belia – 40 Pelajar IIC Sertai Program Tiga Hari di Kuala Kubu Baharu
- Kolej Islam Antarabangsa – IIC Sambut Pelajar Baharu Bulan Mei
- Bantuan Gerobok Rezeki Bantu Lebih 1,100 Pelajar B40 di Kolej Islam Antarabangsa
- IIC Sokong Kempen MyPalmPride2025 Selepas Lawatan REGENERASI