Gombak, 11 Mac 2024 – IIUM Holdings Sdn Bhd (IIUMH) bersama anak-anak syarikatnya telah melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kasih Ramadan 2024, bertempat di Royal Banquet Hall, IIUM Cultural Centre. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati binti Osman, Pengerusi IIUM Holdings Sdn Bhd.
Program ini bertujuan meringankan beban para pelajar yang tergolong dalam kategori asnaf dan B40 sepanjang bulan Ramadan. Menerusi inisiatif ini, IIUMH akan menyediakan 150 pek berbuka puasa yang akan diagihkan setiap hari kepada pelajar Kolej Islam Antarabangsa (IIC) bermula 1 Ramadan 1445H, iaitu pada 12 Mac 2024. Agihan pertama dijadualkan pada jam 3:00 petang di kawasan IIC.
Selain itu, IIUMH turut melancarkan Gerobok Rezeki di kampus UIAM, yang akan tersedia mulai jam 4:00 petang di hadapan pejabat IIUM Holdings. Gerobok Rezeki ini bertujuan menyediakan bantuan makanan dan barangan asas kepada para pelajar yang memerlukan, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan mereka sepanjang bulan suci ini.
Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati dalam ucapan perasmiannya menyatakan harapan agar usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada pelajar yang berdepan kesukaran, terutama dalam tempoh yang penuh keberkatan ini.
Program Kasih Ramadan ini mencerminkan komitmen berterusan IIUMH dalam menyokong komuniti pelajar, khususnya mereka yang berada dalam kategori asnaf dan B40.