
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2025 – Kolej Islam Antarabangsa (IIC) hari ini telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang 14 pelajar IIC selaku Duta Kempen #MyPalmPride 2025. Majlis ini bertujuan menghargai dedikasi para pelajar yang terlibat dalam mempromosikan amalan kelapa sawit mampan dan pemeliharaan alam sekitar menerusi inisiatif berkenaan.
Majlis berprestij ini telah diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, YBhg. Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Penaung kepada REGENERASI Malaysia. Turut hadir bersama beliau ialah barisan kepimpinan tertinggi organisasi tersebut yang terdiri daripada Yang Berbahagia Datin Emilia Uzir (Presiden), Yang Berbahagia Datin Amy Latiff (Naib Presiden), Yang Berbahagia Puan Hawa Omar (Setiausaha Agung), Yang Berbahagia Puan Farah Shazrina (Pengarah Hal Ehwal Alam Sekitar) dan Yang Berbahagia Puan Leeza Shariff (Pengarah Latihan & Pembangunan).
Pihak IIC pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yang Berusaha Encik Shaik Faridhudheen Anverdeen, serta beberapa ahli pengurusan kanan dan warga akademik.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh En. Shaik Faridhudheen yang menyampaikan penghargaan kepada para pelajar atas usaha gigih mereka dalam menjayakan kempen #MyPalmPride. YBhg. Tan Sri Dr. Madinah kemudiannya menyampaikan ucapan yang penuh inspirasi, dengan menekankan kepentingan kepimpinan belia dalam pembangunan lestari.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para duta kempen. Sijil-sijil tersebut telah disampaikan oleh Tan Sri Dr. Madinah, dengan iringan Datin Emilia Uzir dan En. Shaik Faridhudheen. Sesi fotografi turut diadakan bagi mengabadikan detik bersejarah ini.
Majlis turut menyaksikan acara pertukaran cenderamata antara pihak REGENERASI dan IIC sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkukuh advokasi alam sekitar. Acara diakhiri dengan jamuan hi-tea yang memberi ruang untuk para tetamu berinteraksi serta berkongsi pandangan mengenai impak positif kempen yang dijalankan.
Majlis ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada pelajar yang telah menunjukkan komitmen tinggi, malah turut memperkukuh hubungan strategik antara IIC dan REGENERASI Malaysia dalam usaha memacu inisiatif mampan di peringkat institusi.
Sumber – Kolej Islam Antarabangsa
Anda mungkin berminat
- Pelajar IIC Menang Pertandingan AI Antarabangsa
- Summer Camp 2025 Perkasa Jati Diri Belia – 40 Pelajar IIC Sertai Program Tiga Hari di Kuala Kubu Baharu
- Kolej Islam Antarabangsa – IIC Sambut Pelajar Baharu Bulan Mei
- Bantuan Gerobok Rezeki Bantu Lebih 1,100 Pelajar B40 di Kolej Islam Antarabangsa
- IIC Sokong Kempen MyPalmPride2025 Selepas Lawatan REGENERASI