Gombak, 27 September 2024 – IIUM Schools Sdn Bhd (ISSB) telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul 1446H dengan meriah, bertempat di kawasan sekitar Sekolah Setiabudi (SBM) dan IISM Secondary. Majlis yang diadakan pada pagi Jumaat ini dimulakan dengan perarakan penuh semangat oleh para pelajar dari sekolah rendah dan menengah.
Perarakan tersebut disertai dengan laungan selawat dan qasidah yang menggema di segenap kawasan sekolah, memupuk rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan pelajar.
Sabda Nabi SAW:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”
(Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)
Sambutan ini diteruskan dengan persembahan selawat dan qasidah oleh para pelajar, diikuti oleh penyampaian hadiah kepada pemenang perarakan. Acara tersebut berjaya menghidupkan suasana keagamaan dan mempererat hubungan komuniti sekolah.
Pemenang Perarakan Maulidur Rasul 1446H
Dalam kategori Tingkatan 1 dan 2, Johan dimenangi oleh Kelas 1 Ar-Razi (SBM), manakala tempat kedua diraih oleh Kelas 1 Al-Farabi (SBM). Tempat ketiga, keempat, dan kelima masing-masing disandang oleh Kelas 1 Al-Ghazali, 1 Al-Khawarizmi, dan 1 Al-Furqan.
Bagi kategori Tingkatan 3, 4, dan A-Levels, Johan disandang oleh Kelas 3 Al-Ghazali, diikuti oleh Kelas 3 Al-Farabi dan 4 Al-Furqan di tempat kedua dan ketiga. Tempat keempat dimenangi oleh Kelas 3 Al-Furqan dan tempat kelima oleh Kelas 10 Al-Ghazali (IISM Secondary).
Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga sekolah yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam menjayakan acara keagamaan ini. Sambutan ini bukan sahaja menambah keberkatan dengan mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW, tetapi juga menggalakkan para pelajar untuk meneladani kehidupan dan sunnah baginda.