
Kuala Lumpur, 19 November 2025 – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan IIUM Higher Education Sdn. Bhd. (IHESB), anak syarikat di bawah IIUM Holdings Sdn. Bhd., hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) di Ibu Pejabat FELDA bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan kompetensi dan peningkatan kemahiran warga kerja FELDA.
Majlis menandatangani MoU tersebut menandakan permulaan kerjasama formal antara kedua-dua pihak dalam menawarkan program peningkatan kemahiran yang lebih sistematik dan berstruktur. Melalui persefahaman ini, IHESB akan menawarkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Pengurusan Pentadbiran (Pejabat) khusus untuk warga FELDA, yang akan dilaksanakan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu – Portfolio (PPT-Portfolio) seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Selain program diploma tersebut, IHESB turut menyediakan lima (5) program micro-credential yang direka untuk melengkapkan dan menyokong keperluan kompetensi peserta. Secara keseluruhan, seramai 50 orang kakitangan FELDA akan terlibat dalam inisiatif pembangunan profesional ini.
Tempoh pelaksanaan program dicadangkan selama satu tahun, dan pemilihan peserta akan dibuat sepenuhnya oleh pihak FELDA. Sebagai rakan pelaksana akademik, IHESB bertanggungjawab memastikan semua maklumat dan dokumen peserta lengkap, menguruskan pendaftaran secara atas talian dengan JPK serta mengendalikan urusan pentadbiran dan akademik bagi keseluruhan program.
Kerjasama ini dijangka memberi impak positif kepada pembangunan modal insan FELDA, sejajar dengan matlamat organisasi tersebut untuk memperkukuh kecekapan dan keupayaan tenaga kerja. Pada masa yang sama, ia juga mencerminkan komitmen IIUM Higher Education dalam menyediakan penyelesaian pembelajaran yang relevan, diiktiraf dan memenuhi piawaian industri.
MoU ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara FELDA dan IIUM Holdings Group, malah turut membuka ruang kerjasama tambahan yang boleh diterokai pada masa hadapan berdasarkan keperluan semasa kedua-dua pihak.