Kuantan, 3 September 2024 – Dalam usaha memperkukuhkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia, IIUM Medical Specialist Centre telah menganjurkan program bertemakan “Mat Kilau Warisan Perjuangan Kemerdekaan” di Dewan Multi-Purpose Hall, Kulliyyah of Medicine, Kuantan. Program ini diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan mendapat sambutan hangat dari pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis tersebut menampilkan Tuan Haji Mohd Al Hamadi bin Haji Abu Bakar, cucu kepada pahlawan negara Mat Kilau, sebagai penceramah utama. Dalam ucapannya, Tuan Haji Mohd Al Hamadi mengupas kisah perjuangan datuknya, Mat Kilau, yang menjadi simbol keberanian dan ketabahan dalam usaha membebaskan tanah air daripada penjajahan. Beliau juga menekankan betapa pentingnya generasi muda memahami dan menghargai sejarah perjuangan negara.
Program ini turut dimeriahkan dengan pameran barangan klasik yang membawa nostalgia, termasuk tanjak, keris, dan buku-buku sejarah yang menceritakan keagungan budaya dan warisan Melayu. Gerai-gerai jualan ini bukan sahaja menarik minat pengunjung, tetapi juga menjadi platform untuk memperkenalkan kembali nilai-nilai tradisi kepada masyarakat.
Penganjuran program ini mendapat pujian ramai, termasuk dari para hadirin yang berasa terinspirasi dengan kisah-kisah perjuangan yang dipersembahkan. Ucapan penghargaan turut disampaikan kepada Tuan Haji Mohd Al Hamadi atas kesudian beliau berkongsi pengalaman dan kisah berharga tersebut. Pihak penganjur juga tidak lupa merakamkan terima kasih kepada para vendor dan tetamu yang hadir, sekali gus menjayakan program bersejarah ini.