Shah Alam, 19 Ogos 2024 – Sekolah Menengah Setiabudi telah menghantar 16 pelajar bersama 3 orang guru pengiring ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam untuk menghadiri majlis perasmian Program Memasyarakatkan Kecerdasan Buatan (A.I). Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha menekankan kepentingan kecerdasan buatan dalam kehidupan seharian dan pelbagai sektor industri. Beliau turut menegaskan bahawa pemahaman tentang A.I. perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah bagi melahirkan generasi yang celik teknologi.
Selepas majlis perasmian, delegasi Sekolah Menengah Setiabudi berpeluang melawat reruai yang dikendalikan oleh pelbagai pemain industri dan institut pengajian tinggi (IPT) yang mempamerkan produk serta aplikasi berkaitan kecerdasan buatan. Selain itu, para pelajar turut menyertai sesi dialog dan pertukaran idea bersama wakil industri dan pensyarah mengenai aplikasi A.I. dalam dunia nyata.
Program ini diharapkan dapat memberi impak positif dan bermanfaat kepada para pelajar dalam menghadapi masa depan yang semakin dipacu oleh teknologi.