
18 April 2025 – Kolej Antarabangsa Islam (IIC) merupakan antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang menerima bantuan kewangan daripada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam satu inisiatif khas untuk pelajar daripada golongan kurang berkemampuan.
Sebanyak RM25,000 telah disalurkan kepada IIC bagi manfaat 125 orang pelajarnya yang tergolong dalam kategori asnaf fakir, miskin dan fisabilillah. Sumbangan itu disampaikan sempena Majlis Ziarah Kasih anjuran PPZ-MAIWP yang berlangsung di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Dalam majlis berkenaan, sejumlah 1,250 pelajar dari 10 institusi pengajian tinggi sekitar Wilayah Persekutuan telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM200 setiap seorang. Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada skim khas bantuan B40 yang diperkenalkan bagi meringankan beban kewangan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif IIC, Encik Shaik Faridhudheen Anverdeen, hadir menerima sumbangan tersebut bagi pihak pelajar. Beliau menyatakan penghargaan terhadap bantuan yang disifatkan sebagai suntikan semangat buat pelajar yang berhadapan dengan kesukaran kewangan.
“Sumbangan ini amat bermakna dan akan memberi impak positif kepada pelajar untuk terus fokus terhadap pengajian tanpa perlu terlalu memikirkan beban kewangan,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang menegaskan komitmen PPZ-MAIWP dalam memperkasakan pendidikan menerusi pengagihan zakat secara strategik.
“Usaha sebegini bukan sahaja membantu golongan asnaf, malah membuktikan bahawa institusi zakat berperanan penting dalam pembangunan masyarakat melalui pendidikan,” ujar beliau.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman dan Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh.
Selain IIC, antara institusi lain yang turut menerima bantuan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada misi PPZ-MAIWP untuk memperluas impak zakat kepada kumpulan sasar, khususnya melalui pendidikan sebagai instrumen perubahan sosial dan ekonomi.