Gombak, 18 September 2024 – Sekolah Menengah Setiabudi, sebuah sekolah di bawah pengurusan IIUM Schools Sdn Bhd, sekali lagi telah menerima pengiktirafan sebagai Microsoft Showcase School untuk tahun 2024-2025. Pengiktirafan ini diberikan kepada sekolah-sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam pengajaran, pembelajaran, serta inovasi pendidikan melalui penggunaan teknologi Microsoft.
Sebagai Microsoft Showcase School, Sekolah Menengah Setiabudi kini merupakan sebahagian daripada komuniti global eksklusif yang diiktiraf kerana transformasi pendidikan yang dilaksanakannya. Sekolah ini diakui sebagai peneraju dalam menerapkan visi, inovasi, dan pendekatan masa depan dalam mendidik pelajar, selari dengan perkembangan dunia teknologi yang pesat.
Menurut maklumat yang diterima, Cikgu Mohd Zaid Ibrahim, Pengetua Sekolah Menengah Setiabudi, telah menerima berita gembira ini melalui pengesahan daripada pihak Microsoft. Sebagai pengetua dan pemimpin sekolah, beliau memainkan peranan penting dalam mendorong perubahan pendidikan dan memastikan para pelajar dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan.
Semoga pencapaian ini terus menjadi inspirasi untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang pendidikan, bukan sahaja untuk Sekolah Menengah Setiabudi tetapi juga untuk seluruh rangkaian sekolah di bawah IIUM Schools Sdn Bhd.
Alhamdulillah.
Tahniah buat semua warga kerja Sekolah Menengah Setiabudi di atas pengiktirafan ini.