
Kuala Lumpur, 19 Januari 2025 – Kejohanan IIC Badminton Open Tournament 2025 (IBOT’25) telah berlangsung dengan jayanya di W (Sentul) Badminton Centre, menghimpunkan 16 peserta bagi setiap kategori iaitu Perseorangan Lelaki, Beregu Lelaki dan Beregu Wanita. Penganjuran ini merupakan inisiatif Kelab Badminton Kolej Islam Antarabangsa (IIC) bersama Kelab HARMONI IIC, dengan matlamat memupuk budaya sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar serta komuniti luar.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil dari Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (STADD) IIC, iaitu Encik Husamuddin Faisal Lotpi, Puan Fatmawati dan Encik Fhadil Rashid. Kehadiran mereka menyemarakkan lagi semangat kejohanan dan memberikan sokongan moral kepada semua peserta yang bertanding.
Dalam kejohanan ini, Luqman Aqil dari IIC muncul sebagai juara bagi kategori Perseorangan Lelaki. Bagi kategori Beregu Lelaki, pasangan Boyson Soon dan Nigel Wong dari komuniti awam berjaya mengungguli saingan. Manakala kategori Beregu Wanita pula dimenangi oleh gandingan Siti Sarah dan Auni Aina, juga dari komuniti awam. Keputusan ini membuktikan bahawa IBOT’25 bukan sekadar kejohanan dalaman institusi, malah menjadi platform inklusif yang menggalakkan penyertaan masyarakat luar.
IIC berbangga dengan sambutan yang diterima dan pencapaian penganjuran kali ini. IBOT’25 telah berjaya menonjolkan bakat sukan yang berkualiti serta memperkukuh hubungan antara warga kampus dan masyarakat. Diharapkan kejohanan ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dalam kalendar aktiviti IIC, sekali gus menyatukan lebih ramai pemain dan penyokong pada masa akan datang.
Sumber – Facebook Kolej Islam Antarabangsa IIC