
Shah Alam, 18 Januari 2025 – Pasukan Debat Kolej Islam Antarabangsa (IIC) dari Fakulti Undang-Undang & Penguatkuasaan berjaya melakar pencapaian membanggakan apabila layak ke peringkat separuh akhir dalam Pertandingan Debat Undang-Undang Selangor Bar 2025, yang menghimpunkan pasukan dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan kelab peguam muda seluruh negara.
Dalam perlawanan separuh akhir, IIC bertemu pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan membawa usul kontroversi bertajuk “Dewan memperkenalkan Cukai Golongan Maha Kaya.” Meskipun keputusan berpihak kepada pasukan UiTM, IIC menunjukkan kematangan hujah dan kecekapan pengucapan awam yang setanding dengan institusi lain.
Pertandingan akhir menyaksikan pertembungan antara UiTM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam perdebatan berkenaan isu antarabangsa bertajuk “Isu Palestin-Israel: Dewan Ini Akan Merombak Mahkamah Antarabangsa,” di mana kemenangan berpihak kepada pasukan kerajaan, iaitu UiTM.
Pertandingan ini telah membuka ruang luas untuk penyertaan intelektual dan latihan kemahiran advokasi dalam kalangan pelajar undang-undang. Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan M K Thas, Pengerusi Selangor Bar, sebagai simbol sokongan terhadap pembangunan bakat muda dalam bidang guaman.
Apa yang lebih membanggakan, pasukan debat IIC merupakan satu-satunya wakil daripada program pengajian tahap diploma, berbanding peserta lain yang majoritinya dari program ijazah. Penyertaan ini bukan sahaja menjadi bukti ketekunan dan kualiti latihan di IIC, malah turut membantu memperkenalkan IIC sebagai institusi yang kompeten dalam melahirkan pelajar berpengetahuan dan berdaya saing.
Tahniah diucapkan kepada semua ahli pasukan debat dan tenaga penggerak yang menjayakan penyertaan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pencetus kepada penglibatan lebih besar pada masa akan datang.
Sumber – Kolej Islam Antarabangsa IIC