
Gombak, 12 Ogos 2025 – Kumpulan Syarikat IIUM Holdings telah menganjurkan Bengkel Perolehan siri ke-3 pada hari ini, bertempat di Bilik Seminar Ambank 1, IIUM Graduate School of Management, dengan penyertaan daripada seluruh kakitangan kumpulan yang terlibat dalam urusan perolehan.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada siri latihan suku tahunan yang dilaksanakan bagi memastikan semua pihak dalam Kumpulan IIUM Holdings sentiasa selaras dengan keperluan semasa, dasar pematuhan, dan amalan terbaik dalam pengurusan perolehan. Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memperkukuh ketelusan, integriti dan pematuhan dalam setiap proses perolehan di peringkat syarikat induk dan anak syarikat.
Bengkel tersebut dikendalikan oleh Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan; En Zahari Salleh, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan; dan En Mohamad Najib bin Abdul Rahman, Pengurus Audit Dalam Kumpulan. Ketiga-tiga mereka berkongsi pandangan strategik dan operasional dalam memperkemaskan proses perolehan dan kepentingan pematuhan terhadap dasar serta tadbir urus korporat.
Antara topik utama yang diketengahkan ialah kemas kini prosedur perolehan terkini dalam Kumpulan, pengukuhan nilai integriti di setiap peringkat urusan serta keperluan terhadap ketelusan dalam membuat keputusan, terutamanya melibatkan pelantikan pembekal dan pengurusan kontrak.
Sesi soal jawab turut diadakan, memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan penjelasan secara langsung tentang amalan terbaik dan tindakan sewajarnya dalam menghadapi situasi tertentu semasa proses perolehan dijalankan.
Penganjuran bengkel ini menunjukkan komitmen berterusan IIUM Holdings dalam memperkukuh sistem dan budaya kerja yang beretika serta bertanggungjawab, sejajar dengan hasrat syarikat untuk memastikan keberkesanan dan kelestarian operasi perniagaan dalam jangka panjang.