
Gombak, 9 Ogos 2025 – IIUM Schools Sdn Bhd, anak syarikat kepada IIUM Holdings Sdn Bhd, terus memperkukuh peranannya dalam mendidik generasi pemimpin masa hadapan menerusi pelancaran buku istimewa berjudul LEGACY, sempena sambutan ulang tahun ke-25 Sekolah Rendah Setiabudi (SBR) dan ulang tahun ke-20 Sekolah Menengah Setiabudi (SBM).
Majlis gilang-gemilang ini telah berlangsung pada hari Sabtu, 9 Ogos 2025 di Dewan Serbaguna, International Islamic School Malaysia (IISM), bermula jam 9 pagi hingga 11 malam. Pelancaran rasmi buku tersebut telah disempurnakan oleh Encik Azizan bin Zakaria, Pengerusi Lembaga Pengarah IIUM Schools Sdn Bhd, bersama Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holdings Sdn Bhd. Turut hadir, barisan pengurusan sekolah, guru-guru serta wakil ibu bapa dan alumni.
Buku LEGACY yang diterbitkan sempena sambutan bersejarah ini mengetengahkan perjalanan penuh makna Sekolah Setiabudi sejak penubuhannya, termasuk kisah para perintis, pembangunan sekolah, serta kejayaan alumni yang telah menabur bakti dalam pelbagai bidang. Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi juga menjadi lambang penghargaan terhadap dedikasi dan usaha berterusan dalam membina institusi pendidikan berteraskan nilai Islam yang progresif dan holistik.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sambutan ulang tahun termasuk persembahan seni oleh pelajar-pelajar, pameran sejarah sekolah, serta program komuniti yang melibatkan kerjasama erat antara warga sekolah dan ibu bapa. Persembahan pelajar yang penuh semangat dan sarat dengan nilai-nilai murni menjadi sorotan utama, sekali gus mencerminkan pendekatan pendidikan Setiabudi yang menekankan pembangunan sahsiah, intelektual dan spiritual.
Buku LEGACY kini ditawarkan kepada umum pada harga RM25 senaskhah dan boleh diperoleh melalui pihak sekolah. Sambutan ini bukan sahaja menjadi kenangan bermakna buat warga sekolah, malah mengukuhkan lagi komitmen IIUM Schools dalam melakar masa depan pendidikan Islam bertaraf antarabangsa.
Sumber – Sekolah Menengah Setiabudi
Anda mungkin berminat
- Ikhwan Danish Harumkan Nama Sekolah di Dua Kejohanan Taekwondo
- Pelajar Sekolah Menengah Setiabudi Raih Naib Johan Peringkat Kebangsaan Dalam Kejohanan Taekwondo