
Kuantan, 24 Ogos 2025 – International Islamic School Malaysia Kuantan (IISM Kuantan) telah menghantar wakil pelajar untuk menyertai Kejohanan Catur Piala Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (Kategori Bawah 12 Tahun) yang berlangsung di BCIC Lodge, Kuantan.
Pertandingan yang menghimpunkan ratusan peserta dari seluruh negeri ini menjadi platform penting dalam mengasah kemahiran berfikir secara kritikal dan strategik dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Dalam kejohanan tersebut, pelajar-pelajar IISM Kuantan telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dan daya saing yang membanggakan sepanjang perlawanan.
Bagi kategori lelaki, penyertaan daripada Ilyas Arief, Mohammad Abid Rayyan, Abdul Matin, Muhammad Musa dan Muhammad Faiz Fayyadh berjaya meletakkan nama sekolah dalam senarai peserta aktif dengan kedudukan masing-masing antara tempat ke-160 hingga ke-97 daripada keseluruhan 216 peserta. Sementara itu, dalam kategori perempuan, Hannah Maryam dan Maryam Alafwa turut memberi saingan hebat dengan masing-masing menduduki tempat ke-80 dan ke-71 daripada 90 peserta.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua peserta atas keberanian, komitmen dan semangat kesukanan yang ditonjolkan. Penyertaan ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga pengalaman berharga dalam membentuk keyakinan diri serta daya fikir pelajar – selaras dengan matlamat IISM Kuantan dalam melahirkan pelajar yang berilmu, berdisiplin dan seimbang dari segi intelektual serta sahsiah.