
Gombak, 2025 – International Islamic School Malaysia Secondary (IISM Secondary) terus membuktikan kecemerlangannya dalam bidang akademik apabila pelajarnya meraih kejayaan cemerlang dalam ASMO Mathematics National Round 2025.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan sekolah dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja unggul dalam pencapaian akademik, tetapi juga seimbang dari segi sahsiah dan kemahiran berfikir aras tinggi. Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan Ahnaf Raiyan Abrar yang berjaya meraih Pingat Emas dalam pertandingan tersebut, di samping pengiktirafan Honorable Mention dan Merit Awards yang turut diterima oleh pelajar lain.
Pertandingan ASMO (Asian Science and Mathematics Olympiad) merupakan salah satu platform berprestij yang menguji keupayaan pelajar dalam pemikiran analitik, logik dan penyelesaian masalah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Penyertaan dan pencapaian pelajar IISM Secondary dalam pertandingan ini membuktikan kesungguhan mereka dalam mengharumkan nama sekolah serta memperkukuh reputasi IIUM Schools sebagai institusi pendidikan berteraskan nilai Islam dan kecemerlangan global.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah atas dedikasi, semangat dan komitmen terhadap kecemerlangan ilmu. Semoga kejayaan ini terus menjadi inspirasi kepada warga IIUM Schools dalam membentuk generasi Khalifah masa depan yang berilmu dan berwawasan.