
Kuala Lumpur – International Islamic School Malaysia (Secondary) telah menyertai Asia Youth International Model United Nations (AYIMUN) 2025 yang berlangsung di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. Program berprestij ini menghimpunkan ratusan pelajar dari pelbagai negara bagi membincangkan isu-isu global dalam format simulasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sepanjang persidangan, para pelajar yang bertindak sebagai delegasi antarabangsa telah menunjukkan komitmen tinggi dalam sesi perbahasan, pertukaran pandangan serta perbincangan dasar global. Melalui platform ini, mereka berpeluang mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritikal serta keupayaan berbahasa Inggeris dalam konteks diplomasi antarabangsa.
Penyertaan IISM Secondary dalam AYIMUN 2025 bukan sahaja memperkukuh keyakinan diri dan keupayaan pelajar untuk bersaing di peringkat global, malah membuka ruang kepada jaringan antarabangsa serta pemahaman mendalam terhadap cabaran dunia masa kini.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua delegasi atas penyertaan cemerlang dan semangat tinggi yang ditunjukkan sepanjang program. Kejayaan ini sekali lagi membuktikan komitmen IIUM Schools dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berwawasan dan bersedia menjadi pemimpin global masa hadapan.