
Gombak, 15 Julai 2025 – Seorang murid Tahun 1 dari Sekolah Rendah Setiabudi, adik Moch Farhat Rafiqi bin Moch Fathan Qorib, telah mengharumkan nama sekolah dan negara apabila berjaya mara ke peringkat serantau Hippo English Olympiad 2025 yang berlangsung pada 6 hingga 7 Julai lalu di Da Nang, Vietnam.
Pertandingan berprestij anjuran Global Hippo Association ini menghimpunkan pelajar-pelajar cemerlang dari seluruh dunia, termasuk wakil dari negara-negara ASEAN seperti Thailand, Filipina dan Indonesia. Farhat, yang merupakan murid kelas 1 Bijak, telah melayakkan diri ke peringkat antarabangsa selepas cemerlang dalam saringan awal dan peringkat akhir kebangsaan.
Walaupun tidak berjaya membawa pulang pingat, pihak sekolah menyifatkan penyertaan beliau sebagai satu pencapaian membanggakan dan menjadi bukti keberanian serta semangat juang yang tinggi dalam diri pelajar muda ini.
“Pihak sekolah amat berbangga apabila melihat kibaran bendera Sekolah Rendah Setiabudi telah mendunia! Semoga kejayaan serta usaha gigih beliau menjadi inspirasi kepada murid-murid lain untuk menyahut cabaran ini pada tahun hadapan,” menurut kenyataan rasmi yang dikongsikan di laman Facebook sekolah tersebut.
Kejayaan Farhat mencerminkan komitmen Sekolah Rendah Setiabudi dalam mendidik dan membentuk pelajar dengan nilai kepimpinan, keyakinan serta daya saing global, selaras dengan misi institusi iaitu Nurturing Future Khalifah.
Lebih membanggakan, pencapaian ini turut meletakkan nama IIUM Holdings Group selaku badan induk pendidikan di belakang sekolah ini dalam radar antarabangsa. Ini sekali gus mengukuhkan lagi reputasi kumpulan sebagai peneraju pendidikan Islam holistik yang bertaraf global.
Hippo English Olympiad merupakan salah satu platform yang menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pertandingan yang mencabar kemahiran membaca, menulis, dan kefahaman peserta dari pelbagai latar belakang.
Pihak sekolah menzahirkan harapan agar lebih ramai pelajar akan tampil berani menyertai pertandingan seumpama ini pada masa akan datang, bukan sahaja untuk menimba pengalaman, tetapi juga untuk menjulang nama sekolah dan negara di pentas antarabangsa.
Sumber – Sekolah Rendah Setiabudi
Anda mungkin berminat:
- Pasukan Bola Sepak Sekolah Rendah Setiabudi Naib Juara HEVEA GRASSROOT TOURNAMENT 2025
- Atlet Cilik Sekolah Rendah Setiabudi Menyerlah di Kejohanan Olahraga MSSD Gombak 2025
- Microsoft Certified Educator Sekolah Rendah Setiabudi: 71 Guru Lulus Pensijilan Microsoft