
Hulu Langat, 22 Februari 2025 – Seramai 135 pelajar Sekolah Rendah Setiabudi (SBR) telah menyertai Leadership Training Camp 2025 selama dua hari di Yeob Village, Hulu Langat, Selangor. Kem ini dirangka khusus untuk barisan pelajar kepimpinan sekolah yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber (PSS), Pengawas al-Irshad (PSI) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), dengan bimbingan 10 guru pengiring serta dikendalikan oleh pasukan profesional dari PVRT Consultant.
Program intensif selama dua hari ini bertujuan untuk membangunkan ciri kepimpinan, kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan dan jati diri, sejajar dengan visi SBR dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki sahsiah unggul sebagai pemimpin masa hadapan.
Pada hari pertama, peserta didedahkan dengan beberapa slot pembinaan diri seperti Ice Breaking dan Pembentukan Kumpulan, diikuti dengan aktiviti berasaskan komunikasi seperti Telefon Karat, serta sesi Problem Solving dan Critical Thinking yang menguji kecekapan pelajar dalam membuat keputusan secara berkumpulan.
Setiap slot bukan sekadar aktiviti fizikal, malah penuh dengan nilai tersirat bagi membentuk kesedaran kepimpinan, disiplin dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam situasi mencabar. Motto kem iaitu “أصلح نفسك وادع غيرك” – Perbaikilah diri kamu dan ajaklah orang selainmu – menjadi asas kepada setiap pengisian yang disampaikan.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah menunjukkan komitmen dan semangat luar biasa sepanjang program berlangsung. SBR yakin pengalaman ini akan memberi kesan jangka panjang kepada pembentukan watak dan kepimpinan pelajar, serta memperkukuh lagi budaya organisasi kepimpinan yang inklusif dan progresif di sekolah.
Sumber – Sekolah Rendah Setiabudi