
Gombak, 17 Jun 2025 – Sekolah Rendah Setiabudi, sebuah institusi pendidikan di bawah pengurusan IIUM Schools Sdn. Bhd., syarikat milik penuh IIUM Holdings Sdn. Bhd., telah menganjurkan program Study Smart Skills khusus untuk pelajar Tahun 6 bagi meningkatkan kecekapan pembelajaran mereka menjelang peperiksaan.
Program sehari yang berlangsung di Dewan Perhimpunan sekolah ini disampaikan oleh penceramah jemputan, En. Muhammad Ai’man Syafiq bin Mohd Zaini daripada Caliph Soul Consultant. Pelajar didedahkan kepada pelbagai teknik belajar secara efektif dan strategi menghafal yang sesuai, selari dengan persediaan mereka untuk peperiksaan dalaman serta Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).
Menurut pihak sekolah, objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar memahami konsep belajar secara ‘smart’ – bukan sekadar menghafal tetapi belajar dengan lebih tersusun dan berkesan.
Sebagai sebahagian daripada usaha mendidik generasi khalifah masa depan, program ini turut mencerminkan komitmen Sekolah Rendah Setiabudi dalam melahirkan pelajar cemerlang dari aspek akademik dan sahsiah, berpaksikan nilai-nilai Islam.
Sekolah Rendah Setiabudi merupakan antara institusi pendidikan rendah Islamik yang aktif di bawah naungan IIUM Schools Sdn. Bhd., yang turut menguruskan beberapa sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.
Sumber – Sekolah Rendah Setiabudi