34 Kakitangan Kumpulan IIUM Holdings Terima Kenaikan Pangkat

KUALA LUMPUR, 20 Januari 2026 – Kumpulan IIUM Holdings (IIUMH) memperkukuh agenda pembangunan modal insan melalui penganjuran Majlis Kenaikan Pangkat Kumpulan 2026 yang berlangsung penuh bermakna di Exam Hall 1, International Islamic School Malaysia (IISM), semalam. Majlis ini merupakan manifestasi penghargaan syarikat terhadap dedikasi dan kecemerlangan prestasi kakitangan yang menjadi tunjang penggerak organisasi.
Seramai 34 kakitangan daripada empat anak syarikat di bawah naungan Kumpulan IIUMH telah menerima surat tawaran dan sijil kenaikan pangkat masing-masing. Pecahan penerima menyaksikan IIUM Schools Sdn Bhd mendahului dengan 28 penerima, disusuli oleh IIUM Medical Specialist Centre Sdn Bhd (4 penerima), manakala IIUM Consultancy and Innovation Sdn Bhd serta IIUM Holdings Sdn Bhd masing-masing mencatatkan seorang penerima.
Sijil dan surat tawaran tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holdings, YBhg. Dato’ Ahmad Nadzarudin bin Abdul Razak. Beliau diiringi oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan, Dr. Siti Adida binti Abdullah serta barisan Ketua Syarikat. Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian kerjaya peribadi, malah merupakan mandat besar buat para penerima untuk terus memacu Kumpulan ke arah merealisasikan visi strategik RISE2030.