
Kuala Lumpur, 6 Januari 2026 – Dalam usaha memperkasa persekitaran kerja yang kondusif dan ceria, Kumpulan Syarikat IIUM Holdings (IIUMH) hari ini telah melaksanakan sesi penilaian bagi Pertandingan 5S Antara Jabatan bertempat di Ibu Pejabat.
Inisiatif yang dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia Kumpulan (Group HR) ini bertujuan untuk memupuk budaya organisasi dan kebersihan melalui penglibatan aktif seluruh warga kerja. Penilaian dijalankan secara menyeluruh oleh wakil 5S yang dilantik dari setiap jabatan bagi memastikan standard kecemerlangan operasi dipatuhi.
Fokus Utama Penilaian: Sepanjang sesi lawatan ke setiap stesen, barisan penilai telah memberikan tumpuan kepada lima kriteria utama:
- Organisasi Tempat Kerja: Keberkesanan amalan Sort (Sisih) dan Set in Order (Susun).
- Pengurusan Alatan: Susun atur peralatan dan bahan pejabat yang sistematik.
- Kebersihan: Memastikan persekitaran kerja sentiasa Shine (Sapu).
- Standardisasi: Pendokumentasian prosedur kerja yang jelas.
- Kelestarian: Penglibatan dan komitmen berterusan staf dalam mengamalkan budaya 5S.
Selain bertujuan untuk meningkatkan produktiviti, aktiviti ini juga menjadi medium buat warga HQ untuk bekerjasama dalam suasana yang harmoni dan penuh semangat kekeluargaan. Maklum balas daripada sesi penilaian ini akan dijadikan panduan untuk penambahbaikan berterusan di masa hadapan.
Siapakah Juara 5S HQ? Debaran kian terasa buat semua jabatan! Keputusan rasmi dan pengumuman pemenang bakal diumumkan esok, 7 Januari 2026.
Syabas diucapkan kepada seluruh warga IIUMH atas komitmen luar biasa yang diberikan. Semoga semangat 5S ini terus subur menjadi budaya kerja kita selaras dengan aspirasi RISE2030.