Aktiviti Badminton IIUM Holdings Semai Semangat Kerjasama

GOMBAK, 26 Januari 2026 – Kumpulan IIUM Holdings (IIUMH) terus komited dalam memupuk budaya kerja sihat dan seimbang melalui penganjuran aktiviti staff engagement badminton yang berlangsung di Kompleks Sukan Lelaki UIAM (Male Sports Complex), Jumaat lalu.
Aktiviti yang diadakan pada 23 Januari 2026 itu menjadi lebih bermakna dengan penyertaan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, YBhg. Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak. Beliau bukan sahaja hadir memberi sokongan, malah turut mempamerkan aksi di gelanggang bersama kakitangan, sekali gus menunjukkan teladan kepimpinan yang mengutamakan kesejahteraan warga kerja.
Menurut wakil penganjur, program ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara pihak pengurusan dan kakitangan dalam suasana yang tidak formal. Melalui aktiviti sukan seperti ini, semangat kerjasama dapat dipupuk dengan lebih berkesan, yang mana ia merupakan elemen kritikal dalam memacu organisasi ke arah visi RISE2030.
Selain itu, program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk menggalakkan gaya hidup aktif di kalangan kakitangan bagi memastikan kecergasan mental dan fizikal berada pada tahap optimum. Sesi yang penuh dengan keceriaan dan semangat kesukanan ini diharap dapat diteruskan sebagai aktiviti berkala bagi memastikan ukhuwah warga IIUMH terus terpelihara.