
Gombak – International Islamic School Malaysia Secondary (IISMS) menyemarakkan sambutan Eid Adha melalui penganjuran program bertemakan “Sacred Journeys: Hajj, Qurban & Beyond” yang melibatkan penyertaan pelajar G7 hingga G9 dalam satu siri aktiviti reflektif dan kreatif.
Program yang berlangsung di kampus IISMS ini bertujuan memperdalam pemahaman pelajar terhadap ibadah Haji dan Qurban melalui pendekatan yang menyentuh akal dan jiwa. Pelajar berpeluang menghayati nilai spiritual disebalik dua ibadah agung ini, di samping melibatkan diri dalam aktiviti seni dan ekspresi visual.
Antara pengisian utama ialah ceramah oleh Tr. Abdul Karnaen, yang mengetengahkan hikmah dan pengajaran daripada ibadah Haji dan Qurban. Sesi ini disusuli dengan pertandingan mencipta poster, di mana pelajar diberi ruang untuk menzahirkan kefahaman mereka melalui karya visual.
Program ini turut menyaksikan penyertaan aktif dan semangat kreatif para pelajar yang hasil kerja mereka dirakam dan dikongsikan di laman rasmi Facebook sekolah sebagai tanda penghargaan dan inspirasi kepada komuniti.
Sacred Journeys dianjurkan khas sempena musim Eid Adha sebagai satu lagi usaha IISMS untuk memperkasa pendekatan pendidikan Islam yang menyeluruh — merangkumi aspek intelek, emosi dan spiritual dalam suasana yang menyeronokkan dan berkesan.