
Kuala Lumpur, 8 Februari 2025 – Majlis Anugerah dan Graduasi (MAG) 2024 anjuran Sekolah Menengah Setiabudi (SBM) telah berlangsung penuh gemilang di Menara Felda, Platinum Park, KLCC bagi meraikan pelajar cemerlang serta para graduan Tingkatan 5 sesi 2024.
Majlis istimewa ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, IIUM Holdings Sdn Bhd. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan penghargaan terhadap usaha berterusan pihak sekolah dalam mendidik pelajar dengan cemerlang bukan sahaja dalam akademik, tetapi juga sahsiah dan kepimpinan.
MAG 2024 turut menyaksikan kemunculan istimewa personaliti televisyen dan penulis tersohor, Saudara Ahmad Fedtri Yahya, sebagai pengacara majlis, yang berjaya mencipta suasana mesra dan menyentuh hati para hadirin dengan gaya pengacaraan beliau yang berkesan.
Pelbagai persembahan menarik telah dipersembahkan oleh para pelajar dan anak-anak VALENCIA, menjadikan malam graduasi ini lebih bermakna dan penuh kenangan. Ia merupakan simbolik kepada penghargaan terhadap segala usaha dan pencapaian mereka sepanjang menuntut di SBM.
Pihak sekolah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang diraikan serta berterima kasih kepada ibu bapa, guru dan warga SBM yang telah bersama menjayakan majlis ini. Semoga kejayaan yang dicapai menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih cemerlang… demi melahirkan lebih ramai Khalifah masa hadapan.
Sumber – Sekolah Menengah Setiabudi