
KUANTAN – Usaha penyelidikan dari Kulliyyah of Pharmacy, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan telah berjaya menghasilkan satu inovasi produk penjagaan diri berasaskan mineral semula jadi, yang bukan sahaja mesra alam, malah bebas daripada bahan kimia berbahaya.
Projek ini diketuai oleh Assoc. Prof. Dr. Hazrina bersama pasukan penyelidik, dengan sokongan IIUM Consultancy melalui program pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan. Produk deodorant yang dibangunkan berfungsi bukan hanya untuk menyahbau, malah menghalang pertumbuhan bakteria yang menjadi punca utama bau badan — tanpa meninggalkan kesan kekuningan pada pakaian seperti produk konvensional.
Dengan menekankan pendekatan lestari dan sains pengguna, penyelidikan ini menunjukkan potensi besar untuk diketengahkan sebagai alternatif kepada produk komersial di pasaran. Inisiatif ini turut memberi nilai tambah kepada usaha memperkasakan inovasi tempatan melalui pengkomersialan produk berimpak tinggi.
IIUM Consultancy terus komited menyokong penyelidik yang ingin membawa inovasi mereka ke peringkat pasaran melalui khidmat rundingan, pembangunan produk dan kerjasama industri.