IIUM Holdings Sdn Bhd

UIAM Terima Dividen Berjumlah RM2 Juta Daripada IIUM Holdings

UIAM Terima Dividen Berjumlah RM2 Juta Daripada IIUM Holdings
Dari kiri Dato’ Ahmad Nadzarudin (Group MD/CEO IIUM Holdings), Tan Sri Samsudin Osman (Presiden UIAM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar (Rektor UIAM) dan Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman (Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah IIUM Holdings)

Gombak, 26 November 2024 – IIUM Holdings Group terus menunjukkan komitmennya dalam menyokong Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan menyerahkan dividen interim berjumlah RM2 juta kepada universiti itu dalam satu majlis rasmi yang berlangsung minggu ini.

Acara serahan dividen tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah IIUM Holdings, YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, kepada Presiden UIAM, YBhg. Tan Sri Samsudin Osman, dan Rektor UIAM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar. Jumlah dividen yang disumbangkan ini menjadikan keseluruhan pulangan dividen kepada UIAM sebanyak RM3 juta dalam tempoh dua tahun.

Majlis tersebut turut melambangkan usaha berterusan IIUM Holdings dalam menyokong kestabilan kewangan UIAM serta memacu pembangunan akademik dan kemasyarakatan melalui keuntungan yang dihasilkan oleh anak syarikatnya.

“Majlis ini adalah simbolik kepada usaha IIUM Holdings untuk memastikan manfaat ekonomi yang dihasilkan dapat disalurkan semula kepada institusi utama yang menjadi nadi kepada kehadiran kami,” ujar Dato’ Dr. Suzana.

Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara IIUM Holdings Group dan Office of Industrial Links (OIL), UIAM

Selain penyerahan dividen, majlis ini juga menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara IIUM Holdings Group dan Office of Industrial Links (OIL), UIAM. MoU tersebut ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, Group MD/CEO IIUM Holdings, dan YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Rektor UIAM. MoU ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam membantu pelajar UIAM mendapatkan peluang latihan industri melalui syarikat-syarikat di bawah IIUM Holdings.

Majlis Pelancaran Infaq Komputer IIC

Majlis diteruskan dengan pelancaran Infaq Komputer oleh Kolej Islam Antarabangsa (IIC), sebuah inisiatif yang memberi manfaat kepada pelajar dari golongan B40 dan Asnaf. Program ini bertujuan melengkapkan makmal-makmal komputer di IIC dengan komputer moden untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran digital para pelajar. Sumbangan bagi program ini telah diberikan oleh IIUM Holdings Group dan En. Khaharuddin Abd Rahman, CEO IIUM Schools.

IIUM Holdings Group merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk UIAM dan penyumbang individu.

Share this

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top