
Shah Alam, 3 Januari 2025 – Seorang pelajar Sekolah Rendah Setiabudi (SBR), Kaisara Imani binti Shahran Azmeer dari kelas 6 Amanah, telah menerima pengiktirafan istimewa apabila terpilih sebagai penerima insentif khas daripada Yayasan MBI, atas pencapaian cemerlangnya mewakili Negeri Selangor dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 bagi acara Tenpin Boling.
Majlis penyerahan insentif ini telah berlangsung di Aras 23, Bangunan Darul Ehsan, Seksyen 14, Shah Alam, dan disempurnakan oleh Ketua Yayasan MBI, Tuan Ahmad Azri Bin Zainal Nor. Turut hadir ialah para atlet MSSM negeri Selangor dan barisan staf Yayasan MBI, dalam sebuah acara penuh penghargaan terhadap kecemerlangan pelajar dalam bidang sukan peringkat negeri dan kebangsaan.
Pencapaian Kaisara sebagai atlet boling bukan sahaja menjadi kebanggaan SBR, malah menjadi contoh kepada pelajar lain tentang kepentingan usaha gigih, disiplin dan semangat kesukanan sejak di bangku sekolah. Ini membuktikan bahawa kecemerlangan murid tidak terhad kepada akademik semata-mata, malah meliputi pembangunan sahsiah dan potensi diri yang menyeluruh.
Sekolah Rendah Setiabudi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kaisara dan keluarga atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pencetus kepada lebih ramai murid SBR untuk terus melakar nama dalam bidang masing-masing, sejajar dengan misi kami untuk membentuk Khalifah masa depan yang cemerlang.
Sumber – Sekolah Rendah Setiabudi