IIUM Holdings Sdn Bhd

UIAM dan IIUM Holdings Anjur Rewang Bubur Lambuk, Tengku Ampuan Pahang Cemar Duli

Rewang Bubur Lambuk UIAM 2025

Kuala Lumpur, 26 Februari 2025 – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama IIUM Holdings Sdn Bhd telah menganjurkan Rewang Bubur Lambuk 2025 di Dataran Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Gombak. Program tahunan ini bertujuan meraikan kedatangan Ramadan 2025 serta mengeratkan hubungan antara pelajar, kakitangan UIAM, dan warga IIUM Holdings.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli menghadiri program ini dan turut serta dalam gotong-royong memasak. Paduka Baginda yang dikenali dengan hobi memasak, mengambil bahagian dalam penyediaan tiga kawah bubur lambuk menggunakan resipi tradisional Pahang dan Johor, bersama kakitangan Istana Abdulaziz. Baginda juga berkenan mengagihkan bubur lambuk kepada lebih 2,000 pelajar, kakitangan UIAM, dan warga IIUM Holdings.

Rewang Bubur Lambuk UIAM 2025

Turut hadir dalam program ini ialah Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, serta Pengerusi IIUM Holdings Sdn Bhd, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman.

Penglibatan langsung Tengku Ampuan Pahang dalam aktiviti memasak menambah keistimewaan program ini, mencerminkan semangat kebersamaan serta kepimpinan berjiwa rakyat. Acara ini juga menjadi simbol kerjasama erat antara UIAM dan IIUM Holdings dalam menyemarakkan nilai kebersamaan dan amalan berkongsi rezeki menjelang Ramadan.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top