
KEMENSAH, 25 Ogos 2025 – IIUM Holdings Sdn Bhd telah berjaya menganjurkan Bengkel Strategi Blueprint 2026 hingga 2030 dan Pelan Perniagaan 2026 pada 25 Ogos 2025 bertempat di KGB Camp, Kemensah. Sesi intensif sepanjang hari ini menghimpunkan barisan ketua korporat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar serta pengurusan kanan Kumpulan bagi menyelaraskan hala tuju strategik dan keutamaan perniagaan seluruh anak syarikat IIUM Holdings.
Bengkel ini merupakan platform penting bagi memastikan setiap anak syarikat menyumbang secara sinergi terhadap matlamat pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang. Sepanjang sesi, setiap anak syarikat telah membentangkan inisiatif utama dan rancangan pertumbuhan masing-masing yang akan membentuk asas kepada hala tuju strategik kumpulan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Antara fokus utama pembentangan termasuk pengembangan pasaran, inovasi produk dan perkhidmatan, penggunaan teknologi baharu, serta pemerkasaan bakat dan kepimpinan dalam organisasi. Ini mencerminkan komitmen IIUM Holdings untuk terus kekal relevan dan kompetitif dalam sektor-sektor strategik yang diceburi, termasuk pendidikan, penjagaan kanak-kanak, kesihatan, farmaseutikal, perundingan, teknologi dan pengurusan fasiliti.
Majlis telah dirasmikan dan ditutup secara rasmi oleh Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Ahmad Nadzarudin bin Abdul Razak, yang turut menyampaikan amanat penting kepada seluruh pasukan kepimpinan. Beliau menegaskan bahawa strategi yang mantap dan pelaksanaan yang konsisten adalah kunci untuk melonjakkan IIUM Holdings ke tahap yang lebih tinggi serta menyokong aspirasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pembangunan ummah.
IIUM Holdings berharap agar Strategy Blueprint 2026–2030 dan Business Plan 2026 yang dicadangkan akan mendapat sokongan dan pengesahan daripada Lembaga Pengarah, sekaligus menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai di seluruh kumpulan.
Anda mungkin berminat:
- IIUM Holdings Teguh Komited Bendung Rasuah Menerusi Integrity Day 2025
- Bengkel Perolehan Siri Ke-3 Perkukuh Ketelusan dan Integriti Dalam Kumpulan IIUM Holdings
- Majlis Makan Durian Kukuhkan Ukhuwah Warga IIUM Holdings
- IIUM Holdings Anjur Bengkel Penambahbaikan Penilaian KPI 2025, Kukuhkan Pemahaman Prestasi dan Ganjaran Staf