Sumbangan Gerobok Rezeki Ringankan Beban 600 Pelajar Asnaf IIC

GOMBAK – Kolej Islam Antarabangsa (IIC) telah menerima sumbangan Gerobok Rezeki daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Empire Project pada 29 Februari di kampus IIC.
Sumbangan yang terdiri daripada makanan kering dan barangan keperluan harian ini dikhususkan untuk agihan kepada 600 pelajar asnaf yang sedang menuntut di IIC. Inisiatif ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar terlibat, terutamanya dalam membuat persiapan bagi menempuh bulan Ramadan yang bakal tiba.
Majlis penyerahan tersebut telah diterima oleh Encik Shaik Faridhudheen Anverdeen, Ketua Pegawai Eksekutif IIC. Turut hadir menyaksikan penyerahan ini adalah Encik Hafiz Patwari, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) serta pegawai-pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar IIC.
Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kolej dan rakan strategik dalam menjaga kebajikan pelajar asnaf agar mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.