Gombak, 5 Disember 2024 – Daya Bersih Sdn Bhd (DBSB) telah menganjurkan Majlis Penghargaan Pekerja-Pekerja Am DBSB di Experimental Hall, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Majlis ini bertujuan menghargai usaha dan dedikasi pekerja am DBSB yang telah berkhidmat dengan penuh komitmen untuk syarikat.
Acara ini dihadiri oleh Pengurus Besar DBSB, Encik Azizan Hamidon, barisan pengurusan tertinggi DBSB, serta semua pekerja am. Turut hadir ialah tetamu kehormat YBhg. Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IIUM Holdings, yang menyampaikan ucapan penghargaan serta mandat kepada para pekerja. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Berusaha Encik Zahari Salleh, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan IIUM Holdings.
Dalam ucapannya, Dato’ Ahmad Nadzarudin menekankan pentingnya niat yang ikhlas dalam bekerja. “Pekerja DBSB mestilah bekerja dengan sepenuh hati dan jiwa, bukan untuk menunjuk-nunjuk, bukan kerana terpaksa, dan bukan secara sambil lewa,” tegas beliau.
Beliau turut memuji peranan DBSB sebagai anak syarikat strategik kepada IIUM Holdings dan menghargai sumbangan besar pekerja am kepada kejayaan syarikat itu. “DBSB adalah anak syarikat yang penting kepada IIUM Holdings, sebagaimana pentingnya pekerja am DBSB kepada DBSB. Tanpa kerja keras anda semua sebagai satu pasukan, pastinya DBSB tidak dapat menyumbang kepada pendapatan kumpulan syarikat kita,” tambah beliau.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para pekerja am yang diraikan, sebagai simbol pengiktirafan terhadap dedikasi mereka. Acara berakhir dengan makan tengah hari bersama, mencerminkan semangat muhibah antara pihak pengurusan dan pekerja.