Gombak, 2 April 2024 – IIUM Holdings Sdn Bhd (IHSB) telah menganjurkan satu majlis sumbangan duit raya khusus untuk pelajar-pelajar terpilih dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM). Majlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Sebanyak 19 pelajar yang dipilih oleh Student Affairs And Development Division (STADD), IIUM, telah dijemput untuk menghadiri majlis yang diadakan di pejabat IIUM Holdings. Pelajar-pelajar ini datang dari pelbagai jurusan pengajian dan latar belakang.
Sumbangan duit raya tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Nadzarudin bin Abdul Razak, Group CEO IHSB. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan selamat Hari Raya kepada para pelajar dan berharap agar sumbangan tersebut dapat digunakan secara bijak dan berhemah dalam persiapan menyambut perayaan.
Para pelajar yang hadir menyatakan rasa gembira dan bersyukur atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh IIUM Holdings. “Kami amat berterima kasih kepada IIUM Holdings kerana telah menghulurkan bantuan ini. Ia sangat bermakna bagi kami untuk persiapan Hari Raya,” kata salah seorang pelajar yang hadir.
Majlis ini melambangkan komitmen berterusan IIUM Holdings dalam menyokong kebajikan pelajar dan memperkukuh hubungan antara syarikat dengan komuniti universiti.