
Seoul, 28 Julai 2025 – Lapan orang pelajar dari International Islamic School Malaysia Secondary (IISM Secondary) telah mencipta detik bersejarah apabila mereka mewakili Malaysia dalam persidangan diplomatik antarabangsa, Asia World Model United Nations XI (AWMUN XI) yang berlangsung dari 24 hingga 28 Julai 2025 di Swiss Garden Hotel, Seoul, Korea Selatan.
Persidangan yang dianjurkan oleh International Global Network (IGN) itu menghimpunkan lebih daripada 125 buah negara, dengan penyertaan ratusan pelajar dari seluruh dunia yang berperanan sebagai wakil negara dalam simulasi persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Delegasi IISM Secondary, yang diketuai oleh guru pengiring Tr. Norizan Lagandi, terdiri daripada lapan pelajar yang mewakili pelbagai negara semasa simulasi. Antaranya ialah El Dameeya yang mewakili Syrian Arab Republic, Eddeen Fayyaz Faizal selaku wakil Pakistan, dan Ashiq yang membawa peranan sebagai perwakilan Indonesia. Turut serta ialah Arissa Batrisyia mewakili Sierra Leone, Nur Husna bagi negara Lebanon, serta Airis Batrisya, juga mewakili Pakistan. Sementara itu, Naqiyya Hadina Hasibuan memainkan peranan sebagai delegasi dari Amerika Syarikat dan Aariz Abdul Rahman mewakili Afghanistan.
Antara kemuncak persidangan adalah sesi Perhimpunan Agung (General Assembly) yang menyaksikan para peserta mempersembahkan dan mempertahankan resolusi yang telah mereka hasilkan. Keberanian dan kebolehan para pelajar dalam berhujah, bernegosiasi serta menyuarakan pandangan dengan penuh yakin membuktikan potensi besar yang dimiliki oleh generasi muda Malaysia.
Lebih membanggakan, dua orang wakil IISM Secondary telah berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa dalam persidangan tersebut. Eddeen Fayyaz Faizal (Tingkatan 4 Al-Ghazali) menerima Anugerah Honourable Mention dalam Disarmament and International Security Committee (DISEC) atas pencapaian cemerlangnya dalam perbincangan dasar keselamatan antarabangsa. Sementara itu, Naqiyya Hadina Hasibuan (Tingkatan 3 Ar-Razi) dianugerahkan sebagai Best Dressed Delegate, menghargai penampilan profesional beliau yang menyerlah serta menggambarkan keperibadian unggul seorang diplomat muda.
Menurut kenyataan pihak sekolah, penyertaan dalam AWMUN XI menjadi satu pengalaman yang tidak ternilai buat para pelajar, yang bukan sahaja melibatkan diri dalam perdebatan dan diplomasi, malah turut menjalin rangkaian persahabatan antarabangsa dan memahami pelbagai budaya dunia.
Gambar-gambar rasmi sepanjang persidangan turut dirakam dan akan dimanfaatkan dalam bahan promosi serta laporan korporat akan datang. Pihak korporat juga mengalu-alukan sebarang maklumat tambahan daripada sekolah bagi tujuan dokumentasi penuh penyertaan.
Kejayaan ini membuktikan komitmen IISM Secondary dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya saing di peringkat global sebagai pemimpin masa depan.
Sumber – International Islamic School Malaysia Secondary
Anda mungkin berminat
- Eshan Faaz Raih Pingat Gangsa di SIMOC 2025, Harumkan Nama IISM Primary dan Malaysia
- IISMK Raih Kejayaan di East Coast Forensics 2025 dengan Pingat Emas dan Perak