
Iskandar Puteri, Johor, 23 September 2025 – Pasukan Four Blocks Ahead dari Sekolah Menengah Setiabudi telah melakar kejayaan membanggakan apabila meraih gelaran Naib Juara (Tempat Kedua) dalam Grand Finale LEGOLAND® School Challenge 2025, pertandingan binaan LEGO® terbesar di Asia yang berlangsung di LEGOLAND Malaysia Resort, Iskandar Puteri, Johor.
Pasukan yang dianggotai oleh Adelia Mahfuzah binti Mohammad Ariffin, Aina Zara binti Hasfarin, Dhiya’ binti Mohd Azizy, dan Hanaa Nuralisha binti Mohd Shafiq berjaya menampilkan kreativiti dan ketelitian luar biasa dalam membina model bertemakan “Build Your Dream Destination.” Penyertaan mereka menonjolkan keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritikal, berinovasi serta bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran reka bentuk yang kompleks.
LEGOLAND® School Challenge 2025, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, menghimpunkan hampir 2,000 pelajar dari tujuh negara termasuk Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, India, Australia dan China. Hanya 15 pasukan terbaik Asia berjaya mara ke pusingan akhir yang menampilkan cabaran Speed Build secara langsung serta penilaian reka bentuk berdasarkan kreativiti, fungsi, dan elemen pendidikan STEAM.
Menurut kenyataan rasmi LEGOLAND Malaysia Resort, edisi tahun ini mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya, sekali gus menobatkan Malaysia sebagai pemenang bagi kedua-dua kategori utama – sekolah rendah dan menengah. Dalam kategori Sekolah Menengah, pasukan Four Blocks Ahead dari Sekolah Menengah Setiabudi berjaya menduduki tempat kedua selepas pasukan Lucira dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Perak.
Kejayaan ini menjadi bukti bahawa pelajar-pelajar Setiabudi bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga menyerlah dalam bidang inovasi dan reka bentuk berasaskan teknologi. Sekolah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi bimbingan, dorongan, dan sokongan sepanjang perjalanan pasukan ini menuju ke pentas akhir Asia.
Kemenangan ini selaras dengan aspirasi IIUM Schools Sdn. Bhd. dalam membentuk pelajar yang kreatif, berdaya saing dan mampu menjadi pemimpin masa depan dengan minda global dan nilai Islam yang kukuh.