Majlis Berbuka Puasa Kumpulan Syarikat IIUM Holdings 2026 Perkukuh Ukhuwah

GOMBAK – Kumpulan Syarikat IIUM Holdings telah berjaya menganjurkan Majlis Berbuka Puasa tahunan yang penuh bermakna pada 13 Mac 2026. Majlis yang bertempat di Dewan Banquet Diraja, Pusat Kebudayaan UIAM ini telah menghimpunkan seluruh warga kerja dan kepimpinan tertinggi organisasi dalam satu suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Acara Majlis Berbuka Puasa kali ini bertambah seri dengan kehadiran Rektor UIAM, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar. Turut hadir memberikan sokongan adalah YBhg. Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef (Timbalan Rektor Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Fauzan Noordin (Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Masyarakat), serta Encik Mir Azrul Shaharuddin (Pengarah IIUM Endowment Fund). Kehadiran barisan ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi kumpulan syarikat menunjukkan komitmen teguh terhadap nilai kebersamaan.
Pengisian Majlis Berbuka Puasa dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang syahdu oleh Ustaz Abdul Khair Jalil dari Bahagian Tilawah CELPAD. Salah satu acara kemuncak majlis adalah sesi serahan sumbangan duit raya. Sebanyak 30 orang pelajar asnaf daripada UIAM dan Kolej Islam Antarabangsa (IIC) telah menerima sumbangan hasil ihsan seluruh kumpulan syarikat. Penyerahan tersebut disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak sebagai tanda keprihatinan syarikat terhadap kebajikan pelajar.
Selain daripada jamuan makan, Majlis Berbuka Puasa ini turut diisi dengan sebuah tazkirah khas bertajuk Bringing Taqwa Out of the Mosque Into Our Offices. Sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Dato’ Ahmad Nadzarudin Abdul Razak ini menekankan kepentingan membawa nilai taqwa ke dalam amalan profesional di pejabat. Selepas sesi tazkirah, para hadirin menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Ramadhan Subky dari Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Gombak.
Penganjuran Majlis Berbuka Puasa ini bukan sekadar tradisi tahunan, malah ia merupakan medium terbaik untuk memperkukuh ukhuwah sesama warga kerja dan rakan strategik. Kami berharap agar sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban para pelajar asnaf terlibat. Semoga usaha murni ini diberkati oleh Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan bagi seluruh warga IIUM Holdings.